Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum warrahmatullah, saya ingin bertanya mengenai penggunaan cawan menstruasi atau panggilan dalam bahasa inggeris "menstrual cup". Adakah ia dibenarkan wanita dari usia apa pun untuk menggunakan alat ini semasa waktu haid mereka? Ia digunakan untuk mencegah pembaziran pad yang pakai buang yang biasa digunakan. Dan ia juga dibuat dengan "medical grade" silikon dan dapat digunakan kembali selama bertahun-tahun. Terima kasih atas perhatian anda, semoga segala urusan Dipermudahkan Allah
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, cawan menstruasi atau lebih dikenali ‘menstrual cup’ adalah sejenis alat yang diperbuat daripada silikon dimasukkan ke dalam faraj wanita dengan tujuan menghalang kebocoran darah haid. Menstrual cup merupakan alat ganti kepada cotton pad yang biasa digunakan oleh wanita. Secara umumnya, hukum menggunakan menstrual cup adalah dibolehkan selagi mana tidak mendatangkan mudharat kepada pengguna khususnya buat mereka yang belum pernah berkahwin (anak dara). Hal ini kerana, pemakaian menstrual cup ini berisiko menghilangkan dara dan mungkin boleh mendatangkan salah faham kepada bakal suami yang dikahwini kelak. Selain itu, ia juga perlukan penjagaan yang lebih kerana boleh menyebabkan jangkitan kuman pada faraj jika tidak bersihkan sebaik mungkin. Kesimpulannya, jika penggunaan menstrual cup mendatangkan mudharat, maka hukumnya adalah tidak digalakkan. Ini berdasarkan kaedah fiqh : الضَّرَر يُزَال Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.