Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum kepada ahli panel. Subhanallah, Maha Suci Allah, Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kaum keluarga dan sahabat baginda. Saya seorang anak, isteri dan juga ibu. Jodoh saya dengan orang jauh(Perlis) kurang disenangi ibu atas faktor jarak fizikal. Rentetan itu, acapkali bila kami ingin pulang ke kampung sebelah suami, akan mencetuskan ketidaksenangan di hati ibu. Sebelum ini saya dan suami berkhidmat di Sarawak, hanya dapat pulang pada musim cuti sekolah dalam tempoh pendek dan perlu berbahagi masa untuk pulang ke kedua-dua kampung. Ibu tidak senang dengan alasan belum hilang rindu pada anak perempuannya(saya). Kini, saya dan suami telah berpindah ke Perak, tapi masih tidak disenangi oleh ibu kerana tidak memenuhi kehendaknya agar kami tinggal berdekatan dengannya di tanjong karang. Ibu saya menuntut saya agar tinggal berdekatan kerana ibu dan ayah sudah tua dan ayah uzur(sakit kaki). Oleh sebab saya seorang guru, menurut ibu saya sahaja yang dia harapkan untuk tinggal dekat dengan mereka kerana adik beradik yang lain bekerja bukan dalam sektor kerajaan. Namun, saya agak berat hati jika perlu tingal dan kerja berdekatan dengan ibu bagi menjaga hubungan baik ibu dengan suami saya yang kurang disenanginya kerana asal orang jauh di sampi g saya dan ibu sering berbeza pendapat dan ibu akan terbawa-bawa emosi sehinggakan sering mengungkit akan kehendaknya yang tak dipenuhi untuk tinggal berdekatan dengannya, isu saya kahwin di usia muda dan menurutnya tidak sempat berbakti kepada orang tua. Isu balik ke kampung suami seringkali menjadi punca kekeruhan dalam komunikasi kami kerana menurut ibu, ibu mentua saya(balu) masih ada dua orang anak lelaki lain selain suami saya yang turut tinggal di Perlis untuk menjaganya. Jadi kami sepatutnya meluangkan masa yang lebih bersama ibu ayah di tanjong karang. Ibu ada pernah menyebut yang ibu akan sangat marah jika sampai satu masa nanti saya membeli rumah di luar Selangor. Namun, atas beberapa faktor, saya dan suami telah membeli sebuah rumah di tempat bertugas sekarang. Hal ini belum dapat saya maklumkan kepada ibu demi menjaga hatinya. Saya dalam dilema, bagaimana harus saya lakukan untuk mentaati dan menjaga hati orang tua saya, dalam masa yang sama mentaati dan menjaga hati suami dan ibu mentua. Suami saya tidak pernah menghalang saya untuk berbakti kepada orang tua, tetapi suami pernah menyatakan rasa terkilan dengan sikap ibu yang seolah-olah menidakkan tanggungjawab suami kepada ibu kandungnya. Ibu juga sering menceritakan perihal ketidakpuasan hatinya kepada abang kandung saya dan abang saya pernah berpesan kepada suami agar melayani ibu saya sama seperti ibu kandung. Hal ini membuatkan suami berkecil hati seolah-olah suami tidak menyantuni ibu setelah apa yang dilakukannya. Saya mohon pencerahan agar dapat saya berusaha untuk menjernihkan hubungan saya dengan ibu, pandangan ibu kepada suami , kerana redha ibu amat saya perlukan, begitu juga redha suami.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan puan, dalam isu ini sebenarnya hendaklah dilihat dari sudut tanggungjawab seorang anak dalam Islam. Bagi anak perempuan yang mempunyai suami, keutamaan ketaatan dan tanggungjawab adalah kepada suaminya berbanding ibunya. Hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda: لَوْ أَمَرْتُ أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَلَوْ أَنَّ رَجُلاً أَمَرَ امْرَأَتَهُ أَنْ تَنْقُلَ مِنْ جَبَلٍ أَحْمَرَ إِلَى جَبَلٍ أَسْوَدَ، وَمِنْ جَبَلٍ أَسْوَدَ إِلَى جَبَلٍ أَحْمَرَ لَكاَنَ لَهَا أَنْ تَفْعَلَ Maksudnya : “Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya”. (Riwayat Ibnu Majah) Oleh kerana puan mempunyai adik-beradik lelaki, adalah menjadi keutamaan bagi mereka untuk menjaga keperluan dan kebajikan ibu. Disamping anak perempuan juga turut sama-sama membantu, tetapi dengan izin suami masing-masing. Ibu bapa tidak boleh menghalang anak perempuan untuk mengikuti suaminya selagimana tidak bertentangan dengan Islam. Bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta bukanlah ukuran untuk berbakti kepada ibu. Justeru, dicadangkan agar perbincangan secara harmoni dilakukan bersama adik-beradik tentang tanggungjawab masing-masing, penggiliran menziarahi ibu bapa dengan lebih kerap agar mereka tidak berasa terabai, serta berdoa agar hati ibu bapa sentiasa tenang dan diberi kesihatan yang baik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.