Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya terbeli kasut kulit yang mana tapak alas dalam ada campuran kulit babi. Bahagian lain tidak terlibat. Adakah saya perlu buang bahagian alas dalam tersebut dan lakukan samak pada kasut tersebut. Sayang nak buang sebab mahal. Mohon jawapan. Tq
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, wajib membuang alas dalam kasut kerana ada campuran kulit khinzir dan sertu kasut tersebut serta menggantikan dengan alas yang tiada campuran kulit khinzir bagi mengelakkan berlakunya pembaziran. Firman Allah SWT: قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor” (al-An’aam: 145) Para ulama’ mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali bersepakat bahawa khinzir merupakan najis (secara zatnya atau hakiki), dan sebarang bahagian khinzir dan juga apa yang terpisah daripadanya seperti air liur, dan air maninya juga adalah najis. Maka, pengharaman memakan khinzir kerana ianya merupakan najis bukanlah hanya pada dagingnya sahaja, tetapi juga pada tulang, lemak dan kulitnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.