Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, saya ada beberapa soalan untuk ditanyakan, beberapa bulan yang lepas, ada seekor anjing telah kencing pada tayar dan rim kereta saya. Saya hanya membiarkan sahaja ia kering sendiri secara alami ketika saya balik ke kampung dan bergerak ke beberapa tempat. Dan kemudiannya saya parking kereta saya di dalam garaj kereta. Persoalan saya; 1) adakah saya perlu membersihkan tayar dan rim saya? Kerana saya bimbangkan sistem brek saya akan rosak jika terkena air tanah. 2) Adakah najis mughalazah yang terkena pada rim dan tayar kereta perlu disertu, walaupun kita membiarkan ia kering secara alami? 3) Selang seminggu kalau xsilap saya musim hujan telah melanda di kawasan rumah saya dan air hujan telah terkena pada kereta saya yang diletakkan dalam garaj termasuklah rim dan tayar. adakah saya perlu membersihkan kawasan garaj saya sekali dengan air tanah? 4) saya ingin mencuci kereta saya, jika saya tersentuh rim dan tayar saya yang telah beberapa bulan saya biarkan najis tersebut hilang secara alami, perlukah saya untuk membasuh tangan saya dengan air tanah juga?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Tidak perlu disertu tayar tersebut kerana ia telah hilang kenajisannya disebabkan oleh cuaca, hujan, terkena tanah dan lain-lain. 2. Tidak, kerana ia telah kering. 3. Tidak perlu disertu kawasan garaj tersebut kerana najis itu telah kering seminggu yang lalu. 4. Tidak perlu disertu tangan tersebut kerana kenajisannya telah hilang. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.