Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya pernah guna suatu syampoo rambut pada suatu ketika dulu dan sekarang saya sudah tidak guna lagi syampoo tersebut. Tetapi baru-baru ini saya dapat tahu ada insan yang pernah email syarikat yang mengeluarkan produk syampoo tersebut tentang bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Syarikat tersebut membalas dengan menjelaskan bahawa polisi syarikat mereka adalah adalah untuk menggunakan bahan-bahan yang sintetik atau dari sayur-sayuran jika ada. Namun, jika tidak ada alternatif atau jika ada kekurangan bahan tersebut, mereka akan menggunakan bahan dari haiwan seperti lembu dan khinzir. Ini bermaksud mereka hanya akan menggunakan bahan daripada lembu atau khinzir sekiranya kekurangan bahan sintetik dan sayuran. Jadi saya tidak tahu jika syampoo yang saya telah guna itu mengandungi bahan daripada sayur-sayuran atau dari haiwan (lembu dan khinzir) kerana tidak tahu sama ada pada waktu produk tersebut dibuat syarikat tersebut ada mengalami kekurangan bahan sintetik dan sayur atau tidak. Soalan saya di sini: Adakah saya perlu sertu kepala dan badan saya (kerana syampoo mesti terkena badan juga semasa membilas)? Bagaimana pula dengan bilik air? Perlu disertu juga kah? Jika saya mengeringkan rambut menggunakan tuala dan tuala dibasuh dlm mesin basuh bersama baju-baju lain, apakah perlu disertu juga? Harap perkara ini dapat dijelaskan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, memandangkan perkara itu tidak diyakini, maka tidaklah perlu disertu rambut, kepala dan sebagainya. Dan puan juga tidak lagi menggunakan produk tersebut. Justeru, tindakan yang perlu dilakukan hendaklah teliti dan berhati-hati dalam memilih sesuatu produk sebelum digunakan. Pastikan halal dan suci. Puan juga boleh semak status halal melalui : www.halal.gov.my atau muatturun aplikasi Verify Halal untuk semakan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.