Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 2 pertanyaan : 1. Saya mengikut mazhad syafie tapi saya ada pergi satu masjid tidak pasti location and mereka dirikan solat asar pada pukul 5.30 pm ikut mazhab hanafi. Olehitu, disebabkan terlambat, saya join solat jemaah tersebut. Adakah solat saya sah? 2. Saya ada masalah tidak teratur aliran kencing so semasa hendak sujud air kencing terkeluar sikit . Adakah solat saya sah and wudo saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Solat tersebut adalah sah, jika cukup semua rukun dan syarat-syaratnya. 2. Jika terkencing sedikit semasa solat, maka batallah solat tersebut dan wajib diganti. Tetapi jika tidak teratur aliran kencing disebabkan penyakit salisal baul (سَلِسَ البول) atau kencing tidak lawas, maka dimaafkan dan sah solat. Berikut adalah beberapa garis panduan untuk dilakukan: i. Hukum solat dan juga ibadah lain yang memerlukan wudhu’ tidak tergugur disebabkan penyakit yang dihidapi. ii. Perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas atau dengan apa cara sekalipun (lampin atau cawat) agar titisan air kencing itu dapat dihalang dari terus menitis dan merebak. iii. Bagi wudhu’ pula, perlulah segera berwudhu’ setelah berhati-hati dengan merasakan tidak lagi menitis air kencing selepas ianya dibalut atau ditutup dan wudhu’ tersebut perlulah diambil selepas masuknya waktu solat. iv. Wajib berwudhu’ bagi setiap solat fardhu dan wudhu’ tersebut boleh digunakan untuk beberapa solat sunat selepas solat fardhu. v. Wajib segera menunaikan solat selepas berwudhu’ untuk mengurangkan hadas namun tidaklah memudaratkan solat jika dilewatkan solat tersebut disebabkan oleh maslahah seperti mendengar azan dan iqamah, menunggu jemaah yang lain bagi yang solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wudhu’ meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing. vi. Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya maslahah, maka batal wudhu’nya dan wajib ke atasnya untuk mengulangi wudhu’ tersebut berdasarkan tertib semula (lihat no. ii) sebagai berhati-hati kerana telah berulang hadas serta najis tersebut. vii. Wajib menggantikan balutan/bandage/plaster/pampers dengan yang baru sekiranya memperbaharui wudhu’ dan wudhu’nya itu akan terbatal dengan perkara-perkara lain yang membatalkan wudhu’ seperti terkentut, gila namun tidak bagi kencing yang tidak lawas meskipun ianya najis. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.