Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Ada pendapat yang mengatakan Doa Nurun Nubuwwah boleh diamalkan, tetapi ada yang mengatakan doa tersebut tidak betul. Mohon penjelasan dari pihak mufti. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, secara umum apa jua doa merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam bahkan ianya dirakam oleh Allah SWT sebagai sebuah perintah serta merupakan suatu bentuk ibadah, iaitu membesarkan Allah SWT dari seorang hamba yang lemah. Firman Allah SWT : وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”. (Ghaafir : 60) Doa yang paling utama untuk diamalkan dan dihafal adalah doa-doa yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadis seterusnya bolehlah beramal dengan apa-apa doa yang tidak bertentangan dengan syarak, kerana selagi mana doa tersebut adalah bertujuan mendoakan kebaikan di dunia dan akhirat maka harus untuk di baca. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.