Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum warahmatullah Ustaz/Ustazah. Saya ingin mendapatkan penjelasan berkenaan solat Isyraq dan solat Dhuha. 1. Apakah perbezaan Di antara Solat Isyraq Dan Solat Dhuha 2. Bilakah waktu untuk Mula solat Isyraq Dan solat Dhuha ? 3. Saya pernah mendengar berkenaan waktu diharamkan bersolat iaitu Pada tepat waktu syuruk. Boleh uStaz terangkan dengan lebih lanjut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, terdapat 2 pendapat utama berkaitan solat sunat Isyraq dan solat sunat Dhuha. Pandangan pertama mengatakan solat sunat Isyraq dan solat sunat Dhuha adalah dua solat yang sama. Ini berdasarkan perkataan Ibnu Abbas RA; أن صلاة الإشراق هي صلاة الأوبين Maksudnya : “Sesungguhnya solat Isyraq adalah solat Awwabin (Dhuha)” (Riwayat al-Hakim) Solat sunat Dhuha boleh dilakukan sama ada dua rakaat paling sedikit, empat, enam, lapan sehingga 12 rakaat. Menurut Imam al-Rafi’ei dan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Tahqiq dan al-Majmuk, waktu Dhuha bermula daripada naik matahari sekadar rumh (tombak) sehinggalah matahari tegak atas kepala. Pandangan kedua mengatakan solat sunat Isyraq dan solat sunat Dhuha adalah dua solat yang berlainan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada من صلاة الغداة فى جماعة ثم قعد يذكر الله حتى تطلع الشمس ثم صلى ركعتين كانت له كأجر حجة وعمرة تامة تامة تامة Makudnya : “Barangsiapa solat subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat sunat dua rakaat (solat sunat Isyraq) maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna”. (Riwayat al-Tirmizi) Justeru, berdasarkan pendapat ini, solat sunat Isyraq dilakukan dengan dua rakaat sahaja. Bagi mendapatkan fadhilat seperti dinyatakan dalam hadith di atas, disyaratkan juga untuk seseorang itu berjemaah pada waktu Subuh di masjid dan hendaklah dia kekal duduk berzikir di sana, kemudian barulah dia mendirikan dolat sunat Isyraq. Waktunya adalah pada permulaan waktu dhuha. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kitab falak nusantara seperti kitab Taqrib al-Maqsod oleh Mukhtar bin ‘Atharid al-Jawi al-Bogori dan kitab Pedoman Bahagia oleh Mohamad Saleh Kemboja, waktu solat sunat Isyraq atau disebut sebagai dhuha kecil adalah ketika matahari naik setinggi 5 darjah. Ini bersamaan dengan kira-kira 20 minit selepas matahari terbit. Kesimpulannya, terdapat dua pandangan berhubung solat sunat Isyraq dan solat sunat Dhuha. Masyarakat boleh beramal dengan salah satu daripada pandangan tersbeut. Para jemaah adalah digalakkan setelah selesai melaksanakan solat Subuh berjemaah di masjid supaya duduk beriktikaf sebentar di amsjid dan mengisinya dengan berzikir kepada Allah SWT. Kemudian, diikuti pula dengan solat sunat 2 rakaat, selepas terbit matahari. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.