BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai fidyah. Saya tidak mengingati jumlah puasa yang tidak diganti sejak akhil baligh kerana ada yang telah saya ganti dan ada yang tidak diganti kerana kejahilan saya dahulu. Oleh itu, bagaimanakah pengiraan fidyah dalam situasi tersebut? Tambahan pula, bolehkah fidyah dibayar secara ansuran? Kerana saya masih lagi seorang pelajar dan saya malu untuk meminta wang daripada ibu bapa saya.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, seseorang yang telah meninggalkan puasa wajib dengan sengaja ataupun tidak sengaja hendaklah mengqadha’nya (menggantikannya) semula mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan, sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Sekiranya tidak mengqadha’nya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya wajib qadha dan membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat. Sekiranya tidak pasti atau tidak ingat bilangan hari yang telah ditinggalkan, buatlah anggaran bilangan hari yang telah ditinggalkan mengikut sangkaannya (kecenderungan) yang paling kuat dan Ahwat (lebih berhati-hati). Misalnya : Dia tidak tahu berapa hari dia telah tinggalkan puasa, tapi dia rasa tidak kurang dua minggu. Jadi gantilah sebanyak dua minggu kerana itu yang diyakini (pasti) dan lebih berhati-hati. Begitulah juga halnya dengan fidyah bagi bulan-bulan Ramadhan yang telah dilangkau. Jika mampu membayar fidyah, bolehlah dilunaskan serentak. Tetapi jika tidak mampu boleh dibayar beransur-ansur. Dinasihatkan agar perbanyakkan berdoa dan jangan pernah berputus asa daripada memohon keampunan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat kita dan seterusnya menjadikan kita Muslim yang lebih baik lagi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 664

message user image