Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah terdapat iddah bagi seorang wanita yang baru peluk Islam, yang belum bercerai sivil dengan suami bukan Islamnya tapi sudah lama tidak hidup sebumbung serta mempunyai anak? Adakah wanita tersebut boleh terus kahwin lelaki Muslim selepas memeluk Islam tanpa bercerai dengan suami bukan Islamnya?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan puan, bagi perempuan yang memeluk Islam sedangkan dia telah berkahwin, maka perkahwinannya terbatal apabila suaminya tidak memeluk Islam bersamanya. Kerana menurut pandangan syarak, status suami isteri tersebut telah terpisah (tercerai) dengan sebab agama yang berlainan. Namun, mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976, isteri perlu memfailkan proses perceraian tersebut di Mahkamah Sivil bagi mengesahkan perceraian mereka. Berdasarkan kepada keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 30 April 1975 telah membincangkan Suami Isteri Bukan Berugama Islam Kemudian Salah Seorang Daripadanya Memeluk Ugama Islam. Persidangan telah memutuskan bahawa : 1. Nikah pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam akan terputus jika salah seorang daripadanya memeluk agama Islam tetapi jika yang seorang lagi memeluk agama Islam juga dalam masa iddah itu maka kekal nikah mereka. 2. Dalam keadaan di mana salah seorang daripada pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam memeluk agama Islam maka hendaklah diberi penerangan kepada mereka mengenai terpisahnya yang akan berlaku (tertalak) jika seorang lagi tidak memeluk agama Islam dan hendaklah dinasihat dan dipujuk yang seorang lagi itu dengan hikmah supaya ia memeluk agama Islam juga. Firman Allah SWT : فَإِن عَلِمتُموهُنَّ مُؤمِنٰتٍ فَلا تَرجِعوهُنَّ إِلَى الكُفّارِ ۖ لا هُنَّ حِلٌّ لَّهُم وَلا هُم يَحِلّونَ لَهُنَّ ۖ Maksudnya : “Sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami)”. (Al-Mumtahanah : 10) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.