Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz , saya Nurul Ashykin , saya ingin bertanya pihak ustaz mengenai kaedah pembayaran zakat menggunakan online banking , seperti yang diketahui , kaedah ijtihad yg digunakan oleh imam mujtahid yang terkemuka terbahagi kepada 3, yaitu kaedah bayani, qiyasi dan istislahiy, di mana ijtihad bayani bermaksud suatu cara penetapan hukum yang tertumpu pada kaedah-kaedah lughawiyyah atau makna lafaz, manakala ijtihad qiyasi bermaksud suatu cara istinbat hukum dengan membawa sesuatu masalah yang belum diketahui hukumnya kepada sesuatu yang sudah diketahui hukumnya melalui nas dalam rangka menetapkan atau menafikan hukum tersebut kerana sifat-sifat yang menyatukan kedua-duanya. Ijtihad istislahiy pula bermaksud cara istinbat hukum mengenai suatu masalah tertumpu pada dalil-dalil umum kerana tidak ada dalil khusus tentang masalah tersebut dengan berpijak pada asas kemaslahatan yang sesuai dengan maqasid syari'ah. Persoalan saya: 1. Apakah dasar hukum dalam menetapkan hukum kaedah pembayaran zakat tersebut dan; 2. Apakah kaedah ijtihad/istinbat jabatan mufti terhadap putusan tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Pelaksanaan kaedah hukum pembayaran zakat sedemikian adalah atas sandaran bahawa Islam adalah agama yang meraikan perubahan. Inilah manifestasi fleksibeliti dalam Islam. Dengan adanya teknologi dan inovasi baru ini banyak membantu umat Islam melaksanakan ibadah agar menjadi lebih mudah, seperti dalam firmannya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu,” (al-Baqarah: 185) 2. Ini juga boleh dirujuk kepada fatwa yang telah diwartakan seperti di link berikut: http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/188-hukum-pembayaran-zakat-fitrah-melalui-pembayaran-elektronik والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.