Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt. Saya mempunyai beberapa pertanyaan mengenai masalah haidh. Saya berumur 18 tahun. Haidh saya kebiasaannya selama 9-10 hari. Pada bulan Ramadhan 2020 tahun ini, saya telah haidh selama 15 hari tetapi darah haidh yang keluar hanyalah setitis dan tidak banyak pada hari hari yang seterusnya. Pada mulanya saya tidak yakin kerana haidh saya sangat sedikit seperti darah istikhadah. Tetapi disebabkan saya sudah hampir sebulan tidak didatangi haidh, maka saya menganggapnya sebagai darah haidh. Pada hari ke 21, hari ini 26/5/2020 saya telah mengalami 'haidh' yang berwarna merah & banyak. 2 hari sebelum kejadian ini, saya sudah mengalami simptom haidh (sakit pinggang) yang biasa saya alami sebelum ini apabila saya akan haidh. Persoalannya 1. Mana satukah dianggap masa haidh saya? 2. Jika haidh saya sebenarnya pada 26/5/2020- adakah saya berdosa kerana menganggap 15 hari pada bulan Ramadhan lalu sebagai haidh?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, 1. Darah yang keluar pada bulan Ramadhan tersebut dikategorikan sebagai darah haid, walaupun keluarnya hanyalah setitis dan tidak banyak sebagaimana haid biasa. Banyak faktor yang menjadi asbab sedemikian, boleh jadi disebabkan keadaan hormon, pemakanan, kitaran waktu subur dan sebagainya. Justeru, tidaklah salah jika saudari menganggapnya sebagai darah haid, kerana seseorang perempuan lebih kenal dengan keadaan darahnya sendiri. Situasi ini tidak sama dengan perempuan yang lain. 2. Tidak berdosa sebagaimana penjelasan di atas. Lebih-lebih lagi ia berlaku dalam bulan yang berlainan dan saudari juga boleh dapatkan penjelasan daripada doktor pakar berkenaan situasi yang dialami. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.