Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.... saya ingin tahu : adakah jatuh hukum Zihar jika saya samakan anggota badan isteri dengan anak perempuan kandung, tp berlainan tempat , contoh : “lengan awak tembam sama dengan pipi baby” ... jika jatuh hukum : bagaimana saya perlu membayar kaffarah ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan saudara, zihar ialah perkataan seorang suami yang menyamakan isterinya dengan mana-mana perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya atau menyamakan mana-mana anggota isteri. Perempuan yang diharamkan berkahwin tersebut hendaklah yang diharamkan berkahwin buat selama-lamanya seperti ibu dan anak perempuan, beserta dengan niat zihar atau membawa makna zihar iaitu ingin mengharamkan hubungan suami isteri. Oleh kerana tuan tidak berniat, maka tidak jatuh hukum zihar ke atasnya. Dalam isu ini, perbuatan zihar hendaklah dilihat dari segi niat dan cara perkataan itu dilafazkan. Imam Syafie menjelaskan bahawa sekiranya seorang suami berkata sesuatu yang mirip dengan zihar akan tetapi niatnya mulia seperti atas dasar kecantikan atau menyifatkan isterinya seperti ibunya pada saiz, bentuk atau sifat-sifat lain, maka ia tidak dikira sebagai zihar. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.