BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Saya ada menyertai satu program pelaburan di sebuah syarikat. Dan syarikat itu mengatakan bahawa setiap hari, pelabur akan diberi dividen di antara 1%-2% daripada modal kita labur setiap hari sepanjang 180 hari kontrak. Syarikat menjalankan beberapa bisnes seperti jual beli emas, jual beli kereta terpakai, forex trading, dan beberapa lagi. Lepas join saya mula was-was dengan halal haram ni sebab saya tak tahu. Adakah itu dikira menjanjikan keuntungan sebabnya kita tetap tak tahu berapa yg kita akan dapat setiap hari, cuma anggaran di antara 1-2% tu. Boleh jelaskan?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, asas bagi setiap pelaburan adalah keuntungan dan kerugian dikongsi dan ditanggung bersama oleh pendeposit dan syarikat. Dalam erti kata lain, syarikat tidak boleh menjanjikan keuntungan kepada pendeposit sama ada kadar keuntungan yang tetap atau berubah kerana asas kepada pelaburan sentiasa terdedah kepada peluang untung dan risiko rugi. Oleh itu, pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebegini adalah haram disertai. Di dalam satu kaedah Fiqh menyatakan ; الغرم بالغنم Maksudnya : “Perkara yang berpotensi mendapat keuntungan pasti ada risiko kerugian” Sekiranya keuntungan yang dijanjikan oleh syarikat dengan kadar tertentu, maka syarikat terpaksa menanggung beban bersendirian ketika mengalami kerugian, sebaliknya syarikat akan mengaut keuntungan yang besar ketika mandapat keuntungan melebihi kadar yang ditetapkan kepada pendeposit. Keadaan ini bercanggah dengan konsep pelaburan sebenar mengikut hukum syarak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 82

message user image