Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ada sedikit kemusykilan. Apakah hukum bagi seorang lelaki yang telah mempunyai isteri tapi mengaku bujang/duda. Adakah jatuh talak? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, seseorang yang menyatakan ia masih bujang atau belum berkahwin sedangkan ia telah berkahwin sama ada dengan tujuan memperolok-olokkan atau mempersenda gurau, ia adalah termasuk dalam erti kata pembohongan dan tidak membabitkan gugur talak. Walau bagaimanapun, saudara boleh merujuk kepada bahagian undang-undang keluarga jabatan agama islam atau mahkamah syariah yang berdekatan untuk maklumat yang lebih lanjut.
Sekian, terima kasih.