Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan. Jika dahulu ibu bapa saya gunakan bank konventional untuk simpankan duit dan tidak tahu dividen yang dapat dari bank itu adalah riba. Maka mereka telah menggunakannya dan ia berlaku bertahun-tahun. Kemudian, sekarang sudah pun ada perbankan islamik. Dan sekiranya mereka baru tahu tentang unsur riba dalam akaun konventional tersebut dan baru nak tukar kepada akaun islamik, bagaimana dengan duit dividen yang sudah bertahun-tahun dapat dari bank tersebut? Dan kemungkinan mereka pun tak tahu sebenarnya berapa dividen yang mereka telah dapat setelah sekian lama. Perlukah mereka menyucikan atau membersihkan duit tersebut dengan bersedekah? Tetapi tidak tahu nilai dividen yang haram. Saya senaraikan soalan utama saya di bawah: 1) sekiranya mereka baru tahu tentang unsur riba dalam akaun konventional tersebut dan baru nak tukar kepada akaun islamik, bagaimana dengan duit dividen yang sudah bertahun-tahun dapat dari bank tersebut? 2) Jika mereka pun tak tahu sebenarnya berapa dividen yang mereka telah dapat setelah sekian lama, perlukah mereka menyucikan atau membersihkan duit tersebut dengan bersedekah? 3) Jika tidak tahu nilai dividen yang haram kerana sudah lama, bagaimana nak tahu berapa yang perlu disedekahkan? 4) sekiranya perlu membersihkan duit tersebut dengan bersedekah, bolehkan anak menjadi wakil dan bersedekah bagi pihak ibubapa saya dengan duit saya sendiri?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Allah SWT mengharamkan hambanya dari terjebak dengan segala muamalah yang terdapat padanya riba’. Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ “Wahai orang-orang Yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ Dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Ali’Imran : 130) Hadith yang diriwayatkan daripada al-Sha'bi RA bahawa: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَهُ وَكَاتِبَهُ “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba’, orang yang memberi riba’, saksinya dan penulisnya.” (Riwayat al-Nasa’i) Potongan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW di atas merupakan antara nas-nas syarak yang menyatakan tentang pengharaman penglibatan umat Islam dengan aktiviti-aktiviti berkaitan riba’. Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan kami berpandangan bahawa: 1. Sekiranya seseorang itu baru tahu tentang riba di dalam sistem kewangan konvensional maka tindakan segera yang mesti dilaksanakan adalah berpindah kepada sistem perbankan Islam yang ada. 2. Apa-apa urusniaga sebelum bertukar ke Islamik adalah dimaafkan. Manakala segala hasil yang didapati dari perbankan konvensional perlu diasingkan dengan wang pokok kerana hasil tersebut termasuk di dalam harta yang tidak patuh Syariah. 3. Dicadangkan agar mendapatkan bantuan pihak bank untuk tujuan pengiraan bagi memudahkan pengasingan bagi tujuan penyucian, kerana dividen sahaja yang tak patuh syariah. 4. Bagi tujuan penyucian wang tidak patuh Syariah boleh rujuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.