BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Ustaz, saya nak bertanya tentang hukum pembukaan loot box dalam permainan Video. Adakah ia perbuatan judi? Antara game yang menggunakan konsep loot box ialah FIFA 20 dan PES 2020. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, kotak harta atau kotak tikam Loot Box dalam permainan video merujuk kepada barang maya yang boleh diperoleh untuk mendapatkan barang-barang maya yang lain secara rawak. Barangan yang diperoleh adalah pelbagai termasuk pengolahan ringkas bagi watak atau peralatan-peralatan seperti senjata dan perisai. Kotak harta lazimnya dibayar dengan wang nyata dan oleh itu boleh berperanan sebagai salah satu sumber perolehan wang dalam industri permainan video. Bagi pemain yang bermain permainan video pasti sinonoim dengan loot box. Dimana pemain membuat pembelian dengan menggunakan wang sebenar walaupun isi kandungnya tidak diketahui dan hanya bergantung nasib. Sistem ini adalah revolusi daripada permainan kad kumpul, di mana pembeli akan bergantung kepada nasib. Maka hukumnya adalah haram membuka loot box dengan menggunakan wang sebenar kerana sama seperti dalam perjudian iaitu bergantung kepada nasib. Fiman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah : 90) Bagi permainan video yang menggunakan konsep loot box tanpa menggunakan wang sebenar adalah dibenarkan kerana pemain tidak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 168

message user image