Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Sah atau tidak solat apabila niat menjadi imam kpd ibu yg sudah tua yg kadang kala dia mendahului perbuatan imam
Jawapan
Solat berjamaah adalah satu perkara yang digalakkan di dalam Islam. Seorang sahabat Nabi SAW bernama al-Barra’ bin ‘Azib RA beliau berkata, كنَّا نُصلِّي خلفَ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فإذا قال: سمِعَ اللهُ لِمَن حمِدَه، لم يَحْنِ أحدٌ منَّا ظَهرَه حتى يضعَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم جبهتَه على الأرضِ Maksudnya : “Kami solat di belakang Rasulullah SAW , maka jika Baginda SAW berkata سمِعَ اللهُ لِمَن حمِدَه (ketika iktidal), tiada seorang pun di kalangan kami yang merendahkan tulang belakang untuk sujud kecuali setelah Nabi SAW meletakkan dahinya di atas bumi (sempurna sujud)”. Merujuk riwayat di atas, para sahabat sebagai makmum tidak akan mula bergerak untuk melakukan sesuatu rukun fi’li (perbuatan) kecuali setelah Nabi SAW menyempurnakannya terlebih dahulu. Merujuk kepada persoalan puan berkaitan ibu (makmum) mendahului imam. Terdapat beberapa keadaan seperti dibawah; i. Makmum mendahului atau menyamai imam ketika takbiratul ihram • batal solat makmum ii. Makmum mendahului imam sebanyak satu rukun fi’li, seperti makmum rukuk sebelum imam rukuk • sah solat makmum iii. Makmum mendahului imam dengan satu rukun sempurna seperti imam masih berdiri (qiam) manakala makmum telah rukuk dan bangun dari rukuk (iktidal) • batal solat makmum sekiranya mengetahui larangannya. Jika tidak tahu atau lupa maka perlu diganti rakaat tersebut selepas imam memberi salam. iv. Makmum mendahului imam dengan dua rukun • batal solat makmum sekiranya mengetahui larangannya. Jika tidak tahu atau lupa maka perlu diganti rakaat tersebut selepas imam memberi salam. Puan hendaklah memaklumkan kepada ibu dengan penuh hikmah berkaitan peraturan solat berjamaah iaitu makmum tidak boleh mendahului imam. Semoga usaha puan dalam mendidik dan menyantuni ibu diberi pahala yang berganda di akhirat kelak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.