Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum wbt saya ingin bertanya tentang hukum upacara fidyah solat yang biasa dilakukan generasi lama.. sebab ada ahli kariah mintak kami pegawai masjid untuk lakukan perkara tersebut terima kasih..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, solat fardu merupakan tanggungjawab individu itu sendiri (ibadah badaniyyah) yang menjadi tiang agamanya. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, katanya: لا يصلي أحد عن أحد، ولا يصوم أحد عن أحد Maksudnya : “Seseorang tidak boleh solat untuk menggantikan solat orang lain, dan tidak pula puasa untuk menggantikan puasa orang lain.” (Riwayat an-Nasaie) Qada’ solat hanya dilakukan orang yang masih hidup itu sendiri. Bagi sesiapa yang meninggalkan solat tanpa sengaja seperti terlupa atau tertidur, begitu juga dengan solat yang ditinggalkan dengan sengaja, maka wajib qada’. Apabila terjaga dari tidur atau teringat, hendaklah segera qada’ solatnya sebelum meninggal dunia, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda : مَن نَسِيَ صلاةً فليُصَلِّ إِذَا ذكرَها، لا كفارةَ لها إِلاّ ذَلك Maksudnya : “Sesiapa yang terlupa sembahyang, hendaklah ia menunaikannya apabila teringat. Tidak ada kaffarah selain daripada itu. (Riwayat al-Bukhari) Jumhur fuqaha’ Syafi’iyah menyatakan bahawa solat yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, tidak boleh diqada’ oleh orang lain sama ada oleh anak dan sesiapa saja dan tidak perlu dibayarkan fidyah ke atasnya. Ini bermakna solat si mati yg luput tidak boleh diganti oleh orang lain atau dibayar fidyah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.