Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, 1. Apakah hukum menggunakan files/software dari sebuah laman web yang perlu dibayar setiap tahun yang khas untuk 1 pengguna akaun sahaja tetapi bayaran tahunan,nama akaun dan kata laluan dari laman web tersebut dikongsi secara ramai? 2. Dan apa hukum menjual files/software tersebut kepada orang awam? *contoh laman web seperti Envato Elements. pengguna akaun perlu membuat bayaran setiap tahun dan boleh muat turun seberapa banyak mereka mahu dalam tempoh 1 tahun itu. setiap bayaran hanya untuk 1 pengguna akaun yang diberi ID dan password.1 group whatsapp dibuat untuk kongsi id dan password tersebut,boleh muat turun ikut giliran.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perisian komputer (software) adalah sejenis harta intelek (intelectual property) yang merupakan aset tidak nyata tetapi diiktiraf dari sudut undang-undang dan juga syarak. Akademi Fiqah Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) dalam persidangan kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1409H telah membincangkan berkenaan harta tidak nyata (huquq ma’nawiyyah) dan meluluskan resolusi berikut: “Hak cipta penulisan, ciptaan, dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Pemilik-pemiliknya berhak untuk mengendalikannya (menjualnya, menyewanya dll). Dan hak-hak tersebut tidak harus dicerobohi”. Oleh kerana perisian komputer termasuk dalam harta intelek yang diiktiraf syarak, maka ia tidak harus dicerobohi melalui aktiviti cetak rompak dan seumpamanya. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”. (Al-Baqarah: 188) 1. Perbuatan berkongsi software yang sepatutnya untuk 1 pengguna dengan pihak yang lain adalah tidak harus sama sekali. 2. Oleh yang demikian, mengambil keuntungan dari aktiviti yang sedemikian adalah tidak harus dan pendapatan yang diterima adalah haram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.