Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum, saya ingin bertanya berkaitan dengan hasil gaji pekerjaan saya. Saya bekerja di sebuah organisasi hospital swasta kecil, iaitu hospital kanak-kanak di mana sesetengah pesakit akan menggunakan insuran untuk membayar perawatan sama ada sebagai pesakit luar atau dirawat di dalam. Jadi seperti yang kita tahu sesetengah insuran hanya boleh di gunakan oleh pesakit jika mencapai syarat-syarat yang tertentu jadi apakah hukum jika doktor itu menipu dalam perawatan untuk membolehkan pesakit untuk tuntut duit insuran tersebut, dan apakah hukum untuk hasil gaji yang saya terima. Sebagai contoh pesakit kanak-kanak ini tidak mengalami sebarang penyakit setelah berjumpa dengan doktor hanya mengalamani batuk sahaja, jadi doktor mencadangkan untuk melakukan rawatan seperti menghisap wap sahaja, jadi ibu bapa ini tidak mempunyai duit yang mencukupi atau tidak ingin membayar secara tudai jadi doktor membantu dengan memasukkan pesakit ke dalam ward, dan menipu sesetengah perawatan yang di perlukan untuk tuntutat insurans tersebut. Saya berharap persoalan ini dihuraikan supaya saya tidak dibelenggu dengan rasa curiga tentang hukumnya. Terima Kasih kerana sudi membaca soalan saya dan di atas peluang untuk saya membuat pertanyaan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi isu yang dipertanyakan adalah jelas wujudnya penipuan. Maka perlakuan perbuatan menipu tersebut adalah haram dan berdosa. Yang pasti perbuatan doktor itu adalah berdosa dan puan seharusnya menasihati akan perbuatan tersebut adalah salah. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya Rasulullah bersabda: kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu disebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku” (Riwayat Muslim) Berkaitan gaji yang diperolehi tidak sampai menjadi haram melainkan urusan penipuan itu secara langsung diuruskan oleh puan sendiri kerana dikira bersubahat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.