Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum menerima wang bayaran hutang dari penghutang yang mendapatkan wang dari sumber yang haram seperti judi?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukumnya adalah harus dan halal menerima wang tersebut. Penghutang wajib membayar hutangnya. Bagaimana kaedah penghutang mendapatkan wangnya, itu menjadi soal lain. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran yang bermaksud: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain.” (al-An’am : 164) Dalil ini diperkuatkan sebagaimana amalan Nabi SAW yang menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing dan baginda memakannya. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka. Secara kesimpulannya, terdapat seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud yang bermaksud: “Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.