Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Semasa terjadi pertengkaran antara saya dan suami, dengan rasa marah suami telah melafazkan sumpah "Dengan nama Allah aku tidak akan bawak engkau balik jmpa mak aku lagi". Ini merupakan sumpah haram kan ustaz. Soalannya.. Adakah suami saya perlu bayar kafarah setiap kali dia bawa saya balik kampung, atau sekali sahaja? Kafarah perlu dibuat sebelum balik kampung atau selepas? Terima kasih. Harap sangat soalan saya ini dapat dijawab.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, suami hanya perlu membayar kaffarah sekali sahaja, kecuali dia mengulangi ucapan sumpahnya setelah membayar kaffarah. Dikenakan kaffarah kerana melanggar sumpah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (Al-Maaidah : 89) Dinasihatkan agar tidak mudah bersumpah dalam semua perkara, kerana ia adalah sesuatu yang berat dan mesti ditunaikan kerana disandarkan dengan nama Allah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.