Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamu'alaikum, Tuan. Saya ingin bertanya tentang apakah hukumnya menggunakan baucar atau kod diskaun yang sebenarnya bukan untuk kita? Maksud saya, contohnya saya ingin membuat pembelian online di Shopee menggunakan akaun saya yang sedia ada. Tetapi Shopee ada diskaun kod untuk pelanggan baru atau yang baru mencipta akaun. Saya mahukan diskaun itu, jadi saya cipta akaun baru untuk dapatkan diskaun kod tersebut untuk digunakan dalam pembelian saya. Apakah hukumnya? Adakah salah untuk berbuat begitu? Maaf jika soalan saya kurang jelas. Saya harap pihak tuan dapat membantu menjawab kemusykilan saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukum membuka akaun baru dengan niat untuk mendapatkan kod diskaun adalah helah yang diharamkan kerana terdapat unsur helah dan penipuan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW berjalan di pasar untuk mencari keperluannya dan berhenti pada seorang peniaga yang menjual seloggok gandum yang pada zahirnya berkualiti. Nabi SAW memasukkan tangan Baginda SAW yang mulia ke dalam gandum tersebut tiba-tiba tangan baginda menjadi basah menunjukkan gandum di bahagian bawah hamper rosak tidak seperti yang di atas. Rasulullah SAW bertanya kepada peniaga itu; ما هذا يا صاحب الطعام؟ قال: أصابته السماء يا رسول الله، قال: أفلا جعلته فوق الطعام كي يراه الناس؟ من غشّ فليس مني Maksudnya : “Apakah ini wahai pemilik makanan? Peniaga itu menjawab, makanan ini terkena hujan wahai Rasulullah. Baginda SAW bersabda, kenapa kamu tidak letak gandum yang basah di atas supaya manusia dapat lihat dan nilai keadaan sebenar makan ini? Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat Muslim) Mendaftar akaun pengguna baharu kelihatan oleh pengurusan shopee seperti bertambah bilangan pelanggan, tetapi hakikatnya tidak bertambah. Sama seperti keadaan gandum di dalam hadis di atas, kelihatan pada zahirnya gandum tersebut berkualiti tetapi hakikatnya tidak elok. Sistem yang dicipta manusia kebiasaannya ada kekurangan yang boleh diambil kesempatan. Namun sebagai seorang Islam, ketinggian akhlak ketika bermuamalah amat dititik beratkan dan perbuatan helah sebegini perlu dijauhi supaya setiap manfaat yang puan dapat adalah hasil daripada sumber yang halal dan diberkati. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.