Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum. mohon maaf jika panjang sangat taip.tapi sunguh2 nak tahu ni. pertanyaan tentang keberkatan dalam pendapatan. saya telah cuba mencari jawapan di laman web atau youtube tetapi soalan yang hendak saya tanya ini masih tiada penjelasan. pertanyaanya ialah, saya bertugas disektor kerajaan, yang mempunyai seorang pegawai yang bertangung jawab atas cawangan saya bekerja. dan corak saya bertugas melalui tiap shift. dan jadual setiap shift diataurkan oleh seorang yang diberi kuasa oleh pegawai yang memerintah,juga bertugas dilingkungan yang sama. setiap shift ada dua orang pekerja. dan diantara dua orang pekerja itu,mereka sepakat dengan rakan satu shift untuk membahagi shift bekerja.contoh satu shift ada 8jam. lalu dibahagi dua, jadi seorang perlu datang 4 jam bekerja dengan tugas2 yang dibuat hanya dikawal seorang selama 4 jam tersebut. contoh si pekerja A datang jam 8 pagi sampai jam 12 tengah hari, dan si pekerja B datang jam 12 tengah hari sampai jam 4 petang. Pegawai yang memerintah dalam cawangan tersebut pernah memaklumkan dalam mesyuarat, bahawa yang beliau tidak kisah macam mana corak bekerja janji ada orang bekerja sahaja. dan kesepakatan antara dua rakan sekerja tersebut dilakukan antara semua yang bertugas dan juga oleh si pembuat jadual tugas harian. disini dalam pandangan islam, seperti yang saya jelaskan diatas, masih ada keberkatan atau pun tidak. mohon penjelasan. bantu saya yang dalam mencari redha allah S. W. T. terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, berkenaan isu ini terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Samurah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu.” (Riwayat Ahmad) Sebaiknya majikan perlu mewujudkan jadual yang membolehkan komitmen keseluruhan kakitangannya untuk bekerja dan lebih adil saksama antara kakitangan. Ini mengelakkan keculasan dan tidak teraturnya sistem penggiliran bekerja. Oleh itu, jadual yang dibuat adalah komitmen wajib antara pekerja, pastinya itulah perjanjiannya yang perlu dipatuhi sebaiknya. Justeru, pendapatan yang diterima adalah lebih baik dan tiada keraguan di dalamnya kerana ia telah disepakati antara pekerja dan majikan. Sebagaimana Nabi Muhammad saw bersadba yang bermaksud: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati” (Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.