Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya nak tanya, saya bekerja di syarikat Jepun. dimana mereka sangat-sangat mementingkan masa. Saya selalu qada' zohor saya kerana sini surau tiada. Saya perlu ke bangunan sebelah untuk solat dan ia makan masa. Saya telah cuba untuk berbincang tapi tiada kesudahan dan faham antara kami. Perlukah saya teruskan bekerja? Nak cari kerja lain susah sekarang ni.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, bagi mengatasi masalah ini dicadangkan agar saudari mengambil inisiatif seperti berikut : a. Setelah berwuduk, solatlah sahaja di mana ruang yang sesuai dan dipastikan suci serta bersih, kerana solat tidak semestinya dilakukan di surau. b. Pastikan pakaian seharian kerja lengkap menutup aurat bagi memudahkan solat tanpa mengenakan telekung. Justeru, masa saudari untuk ke surau di bangunan sebelah dapat dikurangkan, dan saudari tidak perlu qada’ solat zuhur. Jika saudari khuatir untuk mencari kerja di tempat lain, teruskanlah bekerja di sana tanpa mengabaikan solat. Semoga usaha ini mendapat perhatian pihak majikan untuk menyediakan ruang solat bagi pekerjanya menjalankan kewajipan beragama. Semoga terus istiqomah, mudah-mudahan Allah memberi petunjuk dan kejayaan kepada saudari. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.