Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum,saya pernah bersumpah atas nama Allah tapi dalam keadaan terpaksa. Adakah sumpah itu dikira? Situasi saya begini, Saya menjemur pakaian saya di dalam dorm agar cepat kering. Kemudian,ustaz saya ternampak yg saya jemur baju basah saya di dalam dorm. (Disebabkan saya sorg semua kena dan kitorg pun mmg tak dibenarkan jemur pakaian basah dalam dorm) lepastu ustaz saya suruh satu asrama bersumpah atas nama Allah agar tidak menjemur lagi pakaian basah di dalam dorm,jika kami melanggar sumpah ini,kami dan keluarga akan >menerima azab/dilaknatmenerima azab/dilaknat (lupa yg mana satu). Mohon penjelasan adakah sumpah itu dikira walaupun sebernarnya saya dan kawan2 saya semua tak rela.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, sumpah yang dilafazkan adalah dikira disisi hukum syarak kerana paksaan tersebut tidak membawa kepada ancaman nyawa. Sekiranya saudara tidak mampu mengelak dari menjemur pakaian basah di dalam dorm atau bimbang perkara tersebut berulang, maka saudara hendaklah membebaskan diri dari sumpah tersebut dengan membayar kaffarah sumpah iaitu dengan melakukan salah satu daripada perkara di bawah iaitu; i. Memberi makan kepada sepuluh orang fakir miskin dengan makanan asasi sesebuah negeri dengan kadar secupak seorang (520 gram) ii. Memberi pakaian kepada sepuluh orang fakir miskin iii. Membebaskan seorang hamba Sekiranya tidak mampu melakukan salah satu daripada kaffarah tersebut maka saudara boleh berpuasa 3 hari. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (al-Maidah : 89) Namun, jika saudara mampu untuk tidak melakukan perkara yang disebutkan di dalam sumpah iaitu tidak menjemur pakaian basah di dalam dorm, maka boleh terus laksanakan sebagaimana dalam sumpah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.