BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Selepas saya bertaubat. Adakah saya wajib gantikan solat dan puasa yang saya tinggalkan dengan sengaja selama puluhan tahun? Allah S.W.T itu maha pengampun, kenapa saya perlu ganti sedangkan Allah boleh memaafkan. Ia membuatkan saya pening, kerana ada ustaz kata wajib ganti solat dan puasa. Dan ia membuatkan saya susah hati juga kerana terlalu banyak yang perlu dikerjakan sementara saya belum hafal makna didalam bacaan solat saya. Jika saya tahu bahawa solat saya tidak diterima jika belum fahami makna didalam bacaan, apatah lagi perlu ditambah gantikan solat dan puasa yang beribu-ribu saya tinggalkan. Ia membuatkan saya rasa islam yang dikatakan mudah tidak mudah lagi bagi orang-orang seperti saya. Saya lihat rakan-rakan seperti saya juga banyak yang putus asa. Tidak adakah jalan mudah bagi kami untuk bertaubat? Bagaimana pula dengan hadis yang mengatakan ada seorang manusia yang membunuh seribu orang kemudian dia bertaubat dan masuk syurga. Dia tidak menggantikan pun solat dan puasa dia, malah dia masuk syurga tanpa masuk neraka. Mohon penjelasan dan maaf jika ada tersalah kata.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, taubat bermaksud kembali ke jalan yang benar. dengan ertikata saudara menyesali perbuatan terlarang yang dilakukan dengan sepenuh hati serta meninggalkannya, sambil berazam tidak akan mengulanginya lagi. Seterusnya diikuti dengan mohon keampunan (beristighfar) dengan bersungguh-sungguh dan taat serta beramal soleh kerana Allah SWT. Menggantikan solat yang telah lama ditinggalkan merupakan antara syarat bagi kesempurnaan taubat. Ia boleh dilakukan secara beransur-ansur mengikut kemampuan, yang penting disesali dan berazam untuk menggantikannya. Sah solat walaupun tidak memahami maksud bacaannya. Jika mampu adalah lebih baik kerana boleh menambahkan kekhusyukkan. Sebab solat merupakan perbuatan secara langsung berinteraksi dengan Allah SWT (حبل من الله). Mudah dalam Islam bermaksud mampu dilakukan dalam keadaan biasa, juga ketika ada halangan (rukhsah) dimana ia diberi keringanan. Allah SWT bersifat Maha Pengampun. Pengampunan Allah mengatasi kemurkaanNya. Disamping itu rahmat Allah Maha Luas. Tidak terkira nikmat Allah yang dikurniakan kepada hambaNya. Yang penting kita yakin dengan Allah. Iaitu dengan melakukan suruhan Allah semampunya dengan terbaik secara bertahap. Iringilah perbuatan baik (amal soleh) dengan doa, penyerahan (tawakkal) dan harapan. Allah akan terima ibadah kita. Allah tidak memungkiri janji, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya. (Ali'Imraan : 9) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 167

message user image