Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz/ustazah, Maaf jika terdapat dua soalan yang serupa saya hantarkan kerana terdapat kesalahan ejaan dan bimbang jika tidak difahami untuk ulasan jawapan. Saya ada persoalan sejak kebelakangan ini menggangu fikiran saya sama ada ianya dosa besar atau dosa kecil. Berdasarkan ilmu agama yang saya ada, zina terbahagi kepada dua iaitu zina majazi dan hakiki. Zina majazi adalah zina daripada pacaindera yang dikategorikan sebagai zina kecil iaitu dosa kecil. Manakala zina hakiki pula adalah zina kemaluan dan ianya adalah dosa besar. (Betulkan jika saya silap) Persoalannya saya, apakah kategori dosa iaitu dosa kecil atau besar, jika pasangan yang belum berkahwin telah melakukan perbuatan berciuman mulut tanpa melibatkan persetubuhan iaitu zina kemaluan. Ianya menjadi kemusykilan saya kerana melalui pembacaa saya, saya tidak menjumpai perbuatan berciuman dalam zina majazi. Adakah ianya dalam kategori yang sama?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, bagi pasangan yang belum berkahwin, perbuatan berciuman adalah permulaan atau pendahuluan kepada zina. Ia adalah perbuatan yang terlarang dan berdosa sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. (al-Israa : 32) Namun, ia tidak dianggap sebagai zina, pasangan perlu bertaubat dan mesti tidak mengulanginya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.