Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Arwah suami menamakan EPF atas nama saya (dia meninggal tahun lepas). Sejak itu saya menguruskan sendiri untuk selesaikan hutang2 arwah dan juga badal hajinya. Kami mempunya 2 orang anak perempuan (9 tahun, 6 tahun) dan ibu/bapa arwah juga masih hidup. Sejak suami sakit, saya berhenti kerja untuk menjaganya. Suami seorang yg sangat bertanggung jawab pada saya dan ibunya. Suami diserahkan oleh ibu mertua kepada maklongnya sejak kecil manakala bapanya susah untuk dihubungi. Ibu/bapa mertua telah berpisah. Buat masa sekarang, saya tiada pekerjaan tetap. Cuma menguruskan perniagaan kecil-kecilan dari rumah. Masalah saya, ibu mertua menuntut jumlah RM40k untuk dirinya di mana itu tidak bersamaan dengan jumlah pembahagian faraid. Semua urusan telahpun saya selesaikan cuma tinggal keretanya sahaja yang perlu saya jual kerana saya tidak mampu untuk membayarnya. Saya mohon pencerahan dan pendapat tentang perkara berikut:- (1) Jumlah RM40k yang ibu mertua minta, adakah patut saya serahkan jumlah itu tanpa mengikut pembahagian faraid? Sedangkan baki yang ada cuma RM100K. Itupun belum selesai hal kereta lagi (yang mungkin saya kena top-up untuk selesaikan dengan pihak bank jika harga beli kurang daripada baki hutang bank). (2) Apa yang perlu saya lakukan pada bahagian ayah mertua jika saya gagal menghubungi beliau? Adik2 suami tak nak beri bahagian ayah mertua kerana kata mereka, ayah tak menjaga arwah suami dari kecik. Mereka minta saya serahkan bahagian ayah mertua kepada mereka. Saya mohon sangat pencerahan dan jalan penyelesaian daripada pihak mufti. Berat yang saya tanggung ini. Pilu hati saya, belum setahun suami pergi, saya dan anak2 belum kuat dari segi emosi di tambah pula desakan sebegini. Ini usaha saya untuk mencari jalan yang terbaik agar kami dan keluarga arwah tidak bersengketa.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Kadar yang berhak bagi ibu simati adalah pada kadar 1/6 selepas selesai segala hutang dan tanggungan simati. Ibu tidak berhak menuntut lebih daripada kadar tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya : “Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak”. (an-Nisa’ : 11) 2. Puan mesti berusaha sedaya upaya mencari dan menyerahkan bahagian bapa mertua kerana beliau tetap mempunyai hak ke atas harta pusaka anaknya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya; أَنَّ رَجُلًا قَال: يَا رَسُوْلِ اللهِ! إِنَّ لِي مَالاً وَوَلدًا وإِنَّ أَبِيْ يُرِيْدُ أَنْ يَجتاح مَالِيْ. فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَ سَلَّمَ : أَنْتَ وَ مَالُكَ لِأَبِيْكَ Maksudnya : "Suatu hari ada seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, akan tetapi bapaku ingin mengambil harta itu dariku? Rasulullah menjawab: "Kamu dan hartamu milik bapamu" (Riwayat Ibnu Majah) Manakala adik-beradik suami tidak mempunyai bahagian terhadap harta pusaka tersebut. Diharapkan puan tabah dan menghadapi situasi ini dengan redha serta berserah kepada Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.