Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: Saya nak tanya tentang pandang ulama' , ustaz tentang e-Sukan ( ESports) . Boleh jelaskan? Apa hukum2 terlibat secara langsung? Adakah ia sah dan halal untuk dijadikan satu pekerjaan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, fenomena sukan elektronik atau e-sukan merupakan jenis hiburan yang menarik minat golongan remaja di Malaysia dan dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Malah, arena e-sukan juga dijadikan sebagai kerjaya bagi golongan remaja dan semakin mendapat perhatian banyak pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan yang mengiktirafnya sebagai satu bentuk sukan kompetitif di peringkat global. Ini berikutan kerajaan mahu golongan berkenaan dipupuk dan diberi bimbingan untuk diketengah serta bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Asal hukum berhibur adalah di haruskan. Ini berpandukan dalam kaedah fiqhiyah: الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم Maksudnya: Hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan, sehingga di datangkan dalil pengharamannya. Namun boleh jatuh haram hukumnya jika seseorang itu berhibur sekiranya membawa kepada perkara berikut: • Hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling • Gangguan emosi akibat kekalahan • Faktor ketagihan yang melampau • Mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan • Mendatangkan kemudharatan terhadap tubuh badan dan kesihatan • Menghilangkan akhlak sebagai seorang muslim • Ada unsur perjudian Bagi hukum e-sukan dijadikan sebagai kerjaya hidup adalah harus, selagi mana tiada unsur yang membawa kepada pengharamannya seperti perjudian dan tidak melanggar hukum syarak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.