BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Ustaz/Ustazah. Saya Ahmad Syazwan Bin Samdin berumur 29 tahun. In sha Allah pada Disember ini saya ingin bernikah. Soalan ini pernah saya bertanyakan pada ustaz kenalan dan mendapatkan jawapan tapi sehingga hari ini masih saya rasa tidak berpuas hati. Pada 2007, umur saya 17 tahun (tingkatan 5) saya telah pergi mengerjakan ibadah umrah bersama-sama kedua ibu dan bapa. Kami pergi di atas agensi baru (milik kawan ayah saya) dan ternyata agensi tersebut kurang berpengalaman kerana kami tidak menerima latihan/kursus yang mencukupi sebagai persediaan di mana kami banyak melakukan kesilapan dan hanya bergantung kepada kenalan umrah yang berpengalaman. Setibanya di mekah, kami terus melaksanakan ibadah umrah (tawaf kali pertama). Untuk maklumat, kami memasang niat ihram di madinah. Sewaktu tawaf saya telah terlanggar kaki seorang wanita India dan berasa was-was terhadap wuduk saya maka ketika itu saya bertanyakan soalan kepada ibu saya. Waktu itu saya tidak mengetahui mengenai tidak boleh bercakap sewaktu tawaf (mungkin telah disampaikan tetapi saya leka kerana masih remaja). Akhirnya ibu saya pun terpaksa bercakap untuk meneruskan sahaja mengikut mutawif kerana takut ketinggalan. Selepas selesai umrah pertama itu, kami ada melaksanakan ibadah umrah beberapa kali lagi sepanjang masa kami di sana dan cuba melaksanakan sesempurna yang mungkin. Soalan saya, apakah hukum bagi kejadian tersebut? adakah saya masih tidak putus ihram lagi sehingga kini kerana tawaf pertama saya terbatal? Jika tidak putus adakah bermakna pernikahan saya pada Disember nanti akan tidak sah? Apakah yang perlu saya lakukan? Dan apakah hukumnya juga bagi ibu saya? adakah dia juga masih tidak putus ihram sehingga ke hari ini? Soalan yang kedua, saya ada tabiat suka menarik bulu kening yang kadang-kadang saya tak perasan melakukannya dan saya telah terbuat perbuatan itu sewaktu dalam ihram. Saya telah rujuk kepada ketua rombongan untuk membayar dam tetapi dinyatakan bahawa perbuatan saya itu dikira sebagai tidak sengaja. Benarkah dan apakah hukumnya?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, 1. Bercakap semasa tawaf tidak membatalkan tawaf, selagi tidak mengubah niat semasa bertawaf. Berkaitan batal wuduk pula, saudara dalam keadaan was-was kerana “kejahilan” (kurang pengetahuan). Maka tawaf saudara adalah sah. Lebih-lebih lagi saudara telah melaksanakan beberapa kali umrah selepas itu. Oleh itu, saudara tidak terikat lagi dengan pantang larang dalam ihram. Saudara telah selesai umrah dan bertahallul. 2. Menarik bulu kening dan mana-mana bulu/rambut semasa dalam ihram, jika tidak tercabut tidaklah salah. Yang dilarang ialah mencabut/ memotong dengan sengaja. Bagaimanapun, ia tidak membatalkan umrah/ haji. Jika perbuatan itu tidak sengaja dan tidak pula diyakini (tercabut/ potong) tidaklah dikenakan dam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 256

message user image