Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ingin bertanyakan persoalan berkenaan solat Jumaat pada PKPP. Sekiranya masjid ada syarat maksimum jemaah dan membuat aturan bahawa jemaah kena beratur (walk-in) and atas dasar first come first in, dan diketahui umum kawasan masjid mempunyai jemaah (2 atau 3 kali ganda dari had 500 orang). Soalan saya sejauh mana ikhtiar yg perlu dilakukan supaya kita tidak dikira berdosa kerana tidak berusaha untuk memasuki masjid dan solat jumaat tersenut? Adakah saya perlu pergi dan cuba beratur panjang sehingga saya diberitahu secara bersemuka bahawa masjid sudah penuh atau sekadar saya cukup saya menghantar borang dan tunggu keputusan masjid? Sekian terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, berdasarkan Taudhih Ahkam yang dikeluarkan oleh Jabatan ini, berikut adalah petikannya: KEWAJIPAN MENDAFTAR UNTUK SOLAT JUMAAT DAN KEWAJIPAN SOLAT JUMAAT SETELAH MENDAPAT KAD KEHADIRAN Umat Islam di Negeri Selangor mesti mendirikan Solat Jumaat berdasarkan SOP yang telah ditetapkan, dengan kehadiran mengikut kapasiti sebenar Jamaah di Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat. Sehubungan itu umat Islam yang telah memenuhi syarat mendirikan Solat Jumaat WAJIB mendaftar atau berusaha untuk hadir menggunakan kaedah yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Sehubungan itu, bagi mereka yang telah mendapat kad kehadiran untuk mendirikan solat Jumaat adalah WAJIB hadir mendirikan solat Jumaat. Maka BERDOSA sekiranya dengan sengaja tidak hadir tanpa sebarang uzur syarie atau dengan sengaja memberikan kad jemputan kepada orang lain. Sekiranya terdapat keuzuran maka hendaklah dikembalikan kad kehadiran tersebut kepada urusetia untuk diisi oleh jamaah lain yang menunggu giliran. Bagi Masjid atau Surau Kebenaran Jumaat di kawasan yang jamaahnya tidak melebihi jumlah maksimum, maka ahli kariah yang telah memenuhi syarat mendirikan Solat Jumaat di kawasan tersebut WAJIB hadir Solat Jumaat mengikut kaedah yang ditetapkan oleh pihak Masjid atau Surau Kebenaran Jumaat sekalipun tiada jemputan. Pihak masjid juga HENDAKLAH memastikan maklumat tentang kaedah pendaftaran untuk menghadiri Solat Jumaat adalah jelas, tersebar dan sampai kepada semua ahli kariah. Berdasarkan petikan Taudhih Ahkam di atas dapat disimpulkan bahawa adalah menjadi kewajipan ke atas setiap individu untuk hadir awal ke masjid bagi masjid yang menggunakan sistem beratur, begitu juga wajib mendaftar hadir solat Jumaat bagi masjid yang menggunakan sistem pendaftaran. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan dalam melaksanakan kewajipan kepada Allah SWT. Semoga dengan usaha yang bersungguh-sungguh Allah SWT akan mempermudahkan selebihnya urusan kita di dunia dan akhirat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.