Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan, Soalan saya: Adakah sebarang dalil tentang tuntutan atau saranan mendakwahkan golongan jin. Juga sebarang dalil sekiranya perbuatan itu dilarang
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, secara khusus tiada taklif (tuntutan) untuk berdakwah kepada golongan jin kerana alam jin tidak sama dengan alam manusia. Bagaimanapun, secara umumnya kita dituntut untuk menjadikan jin dalam erti kata “qarin” yang diutus bersama semasa kelahiran seseorang ke arah yang maaruf. Hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah Ibn Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ. قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ Maksudnya: “Tidaklah salah seorang dari kalian, kecuali didampingi Qarinnya dari bangsa jin”. Para sahabat bertanya, “Termasuk Engkau wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Ya, termasuk aku. Kecuali Allah telah menolongku atasnya sehingga dia masuk Islam dan dia tidak memerintahku kecuali kebaikan. (Riwayat Muslim) Ini kerana ia boleh mendorong seseorang itu untuk taat atau ingkar kepada Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud : “Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya. Inilah kitab catatan amal manusia yang sentiasa terletak di dalam jagaanku serta yang siap sedia untuk dihisab.” (Qaaf : 23) Justeru, perbanyakkanlah membaca istia’zah agar terhindar daripada hasutan-hasutan yang mendorong kepada kemungkaran. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.