Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum.. saya merupakan seorang pemandu grabcar.pada satu hari saya membawa penumpang. Penumpang ni semasa sebelum dia masuk kenderaan saya, saya tak nampak dia bawa minuman keras.akan tetapi apabila dia masuk kedalam kenderaan saya dan sy telah drive kereta, dengan tiba2 penumpang tersebut minum minuman keras didalam kenderaan saya tanpa kebenaran saya dan tanpa saya sedari. jadi saya nak tanya, apakah hukum bagi saya membawa orang yang meminum arak? adakah saya juga berdosa sama seperti org yang minum arak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, membawa penumpang tersebut hukumnya harus dan tuan tidak berdosa disebabkan penumpang tersebut meminum arak. Pendapatan yang diperoleh tetap halal kerana pemandu tidak menanggung dosa perbuatan penumpang tersebut. Firman Allah SWT: وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى Maksudnya: “Seseorang tidak akan menanggung dosa orang yang lain.” (al-Zumar : 7) Berdasarkan dalil di atas, seseorang tidak akan menanggung dosa orang lain. Terdapat kisah dalam Musannaf ‘Abd al-Razzaq bahawa ada seorang lelaki datang kepada Ibn Mas’ud dan bertanya: إِنَّ لِي جَارًا يَأْكُلُ الرِّبَا، وَإِنَّهُ لَا يَزَالُ يَدْعُونِي، فَقَالَ: مَهْنَؤُهُ لَكَ وَإِثْمُهُ عَلَيْهِ Maksudnya: “Aku ada seorang jiran yang memakan riba. Dia asyik menjemputku menjamu hidangannya. Kata Ibn Mas’ud: ‘Hidangan itu harus untuk kamu, dan dosanya ditanggung oleh dia.” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.