Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah Sembahyang sunat jenazah ketika pertama kali ziarah kubur ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, amalan yang disunatkan orang Islam melakukannya ketika menziarahi kubur adalah dengan memberi salam kepada mereka. Buraidah RA berkata, Nabi SAW mengajar mereka apabila tiba di tanah perkuburan supaya mengucapkan ; السَّلامُ عَلَيكُمْ أَهْلَ الدِّيارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ والْمُسْلِمِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحِقُونَ، أَسْأَلُ اللَّه لَنَا وَلَكُمُ العافِيَةَ Maksundya : “Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli negeri (negeri barzakh) dari kalangan mukmin dan muslim dan kami dengan izin Allah SWT akan menyertai kamu aku memohon kepada Allah untuk memberikan kesejahteraan kepada kami dan kamu.” (Riwayat Muslim) Adapun solat sunat janazah di tanah perkuburan merupakan perkara yang tidak disyariatkan. Disamping itu kita juga dianjurkan supaya menjaga adab di tanah perkuburan seperti tidak melakukan perkara sia-sia, memperbanyakkan doa dan mengambil iktibar untuk persediaan menjelang kematian. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.