Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Asalamua'laikum Ustaz. Saya ada soalan, sekarang ni saya sedang hadapi satu masalah. Dinding dan lantai di bilik saya ada tahi cicak. Ayah saya mengecat bilik saya. Saya ingatkan tahi cicak termasuk salah satu najis yang dimaafkan. Jadi saya tidak alirkan air ditempat yang terkena najis. Saya hanya hilangkan ain najis saja. Saya baru tahu tahi cicak termasuk najis yang tidak dimaafkan kalau sedikit selepas saya mendengar ceramah tentang najis. Soalannya, adakah dinding di bilik saya semuanya jadi najis. Sebab ayah saya mengecat bilik dan terkena tempat yang ada najis. Adakah najisnya berpindah juga? Kalau saya nak basuh bilik saya ianya satu hal yang mustahil, sebab bilik saya tiada lubang. Jika saya basuh satu bilik, nanti banjirlah bilik saya. Dalam hal ini, bolehkah saya mengikuti mazhab lain yang mengatakan tahi cicak tidak najis. Sebab saya ni termasuk orang yang mudah terkena was-2 dalam bab najis. Saya mohon jawaban ustaz. Saya tak nak terkena was-2 saya dah penat. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, pada asalnya, mazhab Syafie memandang tahi, bahan buangan dan kencing itu najis daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang halal dimakan dan tidak halal dimakan. Namun, ada keadaan disebut umum al-balwa, apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di masjid, tahi ikan di dalam air, tahi belalang, dan tahi haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. Oleh itu, dinding bilik yang telah dicat tidak perlu dibasuh kerana tahi cicak tersebut merupakan najis yang tidak dapat dielakkan dan ianya dimaafkan, terutamanya bersaiz kecil dan telah kering. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.