Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum... Saya nak bertanya pasal hutang2 arwah adik saya. Arwah ada meninggalkan sejumlah wang yg agak besar. Wang tersebut telah diberikan kepada ayah dan ibu kami atas persetujuan ketiga tiga adik beradik tanpa minta sesen pun. Tapi yang menyedihkan ibu saya telah membelanjakan wang tersebut sewenang wenangnya. Untuk pengetahuan, arwah meninggalkan hutang, kereta dan bil2 yang lain. Kami ada beberapa kali mengingatkan ayah dan ibu untuk melangsaikan hutang2 tersebut malangnya tidak dipedulikkan. Bagaimana kami sebagai adik beradik dapat membantu? Jami sedih mengenangkan hutang2 arwah yang nasih belum dilangsaikan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, apabila berlakunya kematian ahli keluarga, warisnya hendaklah menguruskan hutang-hutangnya terlebih dahulu sebelum ia difaraidkan. Ini kerana ada hak-hak orang lain yang mesti dilunaskan. Kemudian uruskan pula badal haji (jika belum menunaikan haji sekiranya telah wajib sebelum meninggal), fidyah/ kaffarah/ nazar/ wasiat (jika ada). Selepas semuanya selesai, barulah boleh difaraidkan kepada waris. Jika ibu dan bapa tidak mempedulikan perkara ini, saudari boleh pakat bersama adik-beradik selaku warisnya untuk melangsaikan hutang tersebut menggunakan wang yang lain secara kongsi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.