Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Adik saya lelaki telah meninggal 3 tahun yang lepas. Balu arwah akan berkahwin lain pada bulan Ogos 2020. Arwah mempunyai sebuah rumah sepencarian. Sewaktu di Mahkamah Syariah, hakim telah memohon supaya nama arwah diganti dengan ibu atau ayah. Tetapi balu arwah tidak mahu menggantikan nama arwah dengan nama ibu atau ayah arwah dan mengekalkan nama beliau seorang. Setelah berkahwin nanti, bolehkah ibu dan ayah saya datang ke rumah arwah seperti biasa? Atau bolehkah ibu dan ayah saya menuntut hak ke atas rumah tersebut? (sekiranya suami yang baru tidak benarkan kunjungan ke rumah tersebut)
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan puan, i. Ibu dan ayah puan boleh datang ke rumah tersebut untuk mengeratkan silaturrahim. ii. Sekiranya hakim telah memerintahkan supaya nama arwah diganti dengan nama ibu atau ayahnya, balunya hendaklah menukar nama tersebut. Jika tidak, ia dianggap melanggar perintah mahkamah. Sekiranya tuntut-menuntut ini masih berterusan, bolehlah merujuk semula kepada pihak mahkamah yang mengendalikan kes tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.