Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakh hukum memakan udang tanah @ ‘ngoang’@ ‘mang’ @ mud lobster.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, udang tanah/ngoang/mang/mud lobster sama seperti udang galah dan hukum memakannya adalah harus. Ini kerana garis panduan makanan yang harus dimakan seperti berikut : a. Tiada pengharaman di dalam al-Quran seperti khinzir. b. Tiada pengharaman di dalam hadis seperti binatang buas dan binatang yang menyambar seperti helang. c. Tidak mudarat dan beracun. d. Tidak memabukkan. e. Bukanlah bersifat mustakhbathah atau keji di sisi orang Arab. Oleh itu, hukum memakan udang tanah adalah harus. Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh: الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah keharusan sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.