BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Seorang pekerja di kilang non muslim berkongsi pantry bila makan. Pinggan, sudu, garfu, sabun, span juga disediakan oleh majikan untuk digunakan bersama. Makanan dibawa oleh masing-masing pekerja. Selepas makan, Non muslim membasuh pinggan, sudu dan garfu yang mereka telah gunaka, dengan span dan sabun yang disediakan oleh pihak majikan.soalan : 1) Adakah kita boleh menggunakan span dan air sabun tersebut tanpa samak menggunakan air tanah: a) jika YAKIN yang dimakan mengandungi daging babi? b) Jika hanya WAS WAS yang dimakan ada daging babi.? 2) Adakah Islam menyuruh kita selidik atau bertanya setiap kali mereka makan, " apakah makanan mereka ada babi" , sedangkan ini akan menimbulkan kemarahan mereka! 3) Adakah perlu kita mengasingkan diri dan tidak duduk bersama ketika makan? sedang tempat itu disediakan oleh majikan sebagai tempat untuk makan ketika waktu rehat. Tempat lain tidak dibenarkan


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, hukum asal bagi bekas atau perkakas orang bukan Islam adalah suci selagi tidak ada bukti bahawa bekas atau perkakas itu digunakan untuk menyediakan makanan yang bersifat najis, seperti arak dan khinzir. Dalam konteks masyarakat Malaysia, terdapat orang bukan Islam yang merupakan peminum arak atau pemakan daging khinzir, dan ada yang bukan peminum arak dan pemakan khinzir. Jika orang bukan Islam itu tidak diyakini sebagai peminum arak atau pemakan daging khinzir, maka saudara tidak perlu mempersoalkan kesucian bekasnya. Hal ini kerana hukum asal bagi bekas mereka adalah suci. Hanya disunatkan sahaja kita membasuhnya jika ingin menggunakan. Namun jika orang bukan Islam itu memang dikenali sebagai peminum arak atau pemakan khinzir, maka wajarlah saudara memastikan bekas yang digunakan itu dicemari najis atau tidak. Bertanya dengan sopan dan penuh adab tidaklah menjadikan teman saudara yang bukan Islam itu terasa hati. Jika bekas itu bernajis, maka kita mempunyai dua pilihan, iaitu: 1. Menggunakan bekas lain, atau 2. Membasuh bekas yang bernajis itu sebelum digunakan (sertu). Berdasarkan kenyataan di atas dapat disimpulkan bahawa, jika diyakini yang dimakan mengandungi daging babi maka wajib sertu. Jika hanya andaian, maka tidak wajib sertu. Boleh guna perkakas sendiri tanpa mengasingkan diri daripada rakan-rakan sekerja yang lain. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 251

message user image