Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Soalan: Assalamualaikum. Di sini saya ingin bertanyakan soalan tentang solat musafir. Situasinya begini: saya ingin bermusafir dari kuala lumpur ke kelantan. Jangka hari permusafiran saya ialah selama 7 hari. Sekiranya saya bertolak pada hari sabtu malam dan sampai di destinasi pada hari ahad pagi. Jadi adakah hari ahad tersebut dikira hari perjalanan dan adakah pada hari tersebut saya boleh melakukan solat musafir walaupun sudah tiba di destinasi yang dituju? Kemudian pada hari pulang ke kuala lumpur semula, bagaimanakah cara untuk saya melakukan solat musafir? Adakah saya boleh solat di tempat permusafiran saya atau bagaimana? Jazakallah khairan katsir ☺
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, oleh kerana tempoh permusafiran selama 7 hari di Kelantan, maka tidak boleh melakukan solat jamak di Kelantan kerana telah lebih tiga hari walaupun hari Ahad dikira hari perjalanan. Dengan ini, tidak boleh juga melakukan solat jamak dan qasar kerana telah tiba di destinasi. Pada hari pulang, boleh melakukan solat jamak semasa dalam perjalanan bermula keluar dari mukim (tempat permusafiran) sehingga sebelum tiba di rumah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.