Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt tuan, saya ingin bertanya apakah hukum bekerja di zoo? Terdapat ulama mengatakan haram hukumnya kerana mengurung binatang untuk tontonan, hiburan dan sebagainya. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, berdasarkan kepada hadis berkenaan mengurung binatang adalah dilarang. Namun, jika melihat dari sudut yang lain, fungsi zoo adalah bagi tujuan pendidikan dan kajian kepada para pengkaji serta dapat mengimbangi alam ini daripada haiwan yang diburu dapat disimpan, dipelihara dan dirawat. Oleh itu, pekerjaan menjaga haiwan di zoo adalah diharuskan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.