Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanyakan soalan berkenaan dengan keberkatan rezeki. Saya baru sahaja menerima tawaran kerja yang baru cuma banyak rasa bersalah kebelakangan ini berkenaan dengan keberkatan rezeki terutamanya apabila memikirkan tentang rezeki tersebut yang akan digunakan untuk menyara kehidupan keluarga selepas perkahwinan nanti. Persoalan saya adalah kebiasaannya ketika interview kerja kita mempunyai tendency untuk mereka-reka jawapan sama ada daripada segi pengalaman kerja, perancangan kerjaya, perancangan peribadi dan sebagainya. Terutamanya apabila kita tidak bersedia dengan jawapan untuk persoalan tersebut. Adakah memberikan jawapan yang tidak betul demi menjawab persoalan semasa interview itu dikira sebagai menipu? Sekiranya dikira sebagai menipu bagaimanakah saya mampu untuk menebusnya demi mendapatkan rezeki yang berkat? Saya ada terfikir untuk berhenti kerja kerana perasaan bersalah yang mendalam terhadap cara mendapatkan pekerjaan ini dan memikirkan tentang keberkatan rezeki yang diperolehi.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, apabila kita menipu atau berdusta dengan memberi maklumat yang palsu atau tidak benar, maka hukumnya adalah berdosa. Adapun ketika mana semasa temuduga dijalankan kita memberikan penjelasan berkaitan dengan perancangan kerjaya, memberi pandangan mengenai strategi pemantapan pengurusan kerjaya contohnya atau pun berkaitan pengalaman kerjaya sendiri, ia tidaklah menjadi kesalahan dan tidak berdosa, kerana ia hanya perancangan. Berkenaan dengan kerjaya yang diperolehi itu, ia hendaklah dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab, amanah, tidak khianat, berintegriti dan sebagainya. Justeru timbullah keberkatannya dan halallah gaji yang diterimanya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.