Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Isteri mengaku berzina dengan lelaki lain. Saya masih sayangkan isteri tapi tak dapat terima. Apa yang patut saya lakukan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, melakukan zina adalah berdosa besar dan perbuatan keji yang membawa kerosakan dalam masyarakat Islam. Allah SWT telah berfirman : Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Israa : 32) FirmanNya lagi : Maksudnya : “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.” (an-Nur : 3) Menerusi ayat ini, jelas lelaki yang beriman tidak layak “menyimpan” perempuan yang cenderung melakukan zina. Sebagai suami, wajib menyuruh isteri bertaubat nasuha dan tidak mengulangi perbuatan zina tersebut. Jika dibiarkan, suami digolong sebagai suami yang dayus. Jika isteri tidak mahu bertaubat dan berterusan melakukan zina, serta melakukan perbuatan keji mengikut pandangan Hukum Syarak, maka ceraikanlah isteri tersebut dengan cara yang baik. Jika suami memilih untuk tidak menceraikan isterinya, mereka juga tidak boleh bersama, kerana dikhuatiri berlaku percampuran nasab (benih lelaki zina dan suami). Isteri wajib istibra’ (pembersihan rahim), iaitu membersihkan rahim isteri daripada mani lelaki zinanya dengan sekali haid. Jika perlakuan zina itu menyebabkan isteri hamil, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada suami. Anak hasil zina, nasabnya adalah kepada ibunya sebagaimana fatwa berikut : http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2005-2009/101-fatwa-tentang-garis-panduan-mengenai-anak-tak-sah-taraf-menurut-hukum-syara والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.