BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Saya memakai ubat ketuat untuk menghilangkan ketuat di kaki. Sifat ubat ini adalah melekat di kaki oleh kerana fungsinya untuk mematikan sel ketuat. Dan ubat ini jika dipakai ia akan melekat selama beberapa hari. Soalan saya, adakah sah wuduk saya jika saya menggunakan ubat ini dan mengambil wuduk. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, sebelum menjawab soalan ini, perlu difahami bahawa antara syarat sah wuduk adalah tiada sesuatu yang menghalang air daripada sampai ke kulit. Selain itu, tiada sesuatu pada anggota wuduk yang menghalang air untuk sampai kepada anggota wuduk. Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada 'Umar bin Khaththab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: "Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat." (Riwayat Muslim) Justeru, jika terdapat pada anggota wuduk suatu bahan ubat sapu yang menghalang air wuduk daripada sampai ke kulit, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum berwuduk. Jika tidak, ia akan menyebabkan wuduk itu tidak sah. Namun begitu, ia dimaafkan jika kesan ubat itu, terlalu nipis sehingga tidak menghalang air daripada kulit dan terlalu sedikit sehingga tidak mengubah sifat air mutlak tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 86

message user image