BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan nak bertanya berkenaan air mazi. Air mazi ni ialah najis mutawasitah kan. Oleh itu, kalau saya melakukan onani atas tilam, adakah air mazi dan air mani yang keluar bersih dan adakah saya perlu bersihkan tilam dan selimut saya? Ataupun cukup dengan hanya merenjiskan air mutlak dekat kawasan yang diyakini terkena air mazi dan air mani? Kalau air mazi yang dah kering, adakah masih perlu cuci tilam ataupun tidak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, air mazi adalah kategori najis mutawassitah (pertengahan) dan jika terkena pada pakaian maka tidak boleh dibawa untuk bersolat dan wajib dibersihkan. Namun begitu, keluarnya air mazi, tidak membawa kepada seseorang untuk mandi wajib. Manakala air mani bukan najis tetapi wajib seseorang itu mandi wajib. Jika seseorang itu melakukan onani (dilarang dalam Islam), lembapan yang terhasil (air mazi) ketika proses atau selepas selesai, lalu terkena pada selimut dan katil misalnya, ia adalah najis dan wajib dibersihkan dengan air mutlak. Sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Hanif, ia berkata:

كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ‏"‏ ‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ ‏"‏ يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ

Maksudnya: Saya merasa letih dan payah kerana sering mandi disebabkan keluarnya mazi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda, “cukuplah engkau dengan berwudhu”. Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan Mazi yang terkena pada pakaian saya? Beliau menjawab, “cukuplah engkau mengambil air setapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang terkena itu. (Riwayat al-Tirmizi)

Jika air mazi yang terkena pada selimut dan katil itu telah kering, maka hukumnya adalah sama seperti najis kering. Cara membersihkannya dengan air mutlak (dijirus dan mengalir) sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Namun begitu, menukar selimut dan cadar juga adalah lebih baik untuk kebersihan secara berkala.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 1982

message user image