Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ingin bertanya apakah hukumnya bagi seorang wanita membuang anak rambut yang tumbuh dengan banyak di bahagian dahi?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, dahi adalah sebahagian daripada muka yang tidak diklasifikasikan sebagai aurat. Perlu pastikan juga perbezaan diantara anak rambut atau bulu roma di kawasan dahi/ kepala, kerana yang auratnya adalah anak rambut. Lagipun orang yang minta dicabut bulu mukanya adalah dilaknat (haram), kerana termasuk dalam dalil yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda: لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ Maksudnya: Allah S.W.T melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah. (Riwayat Muslim) Menurut Imam Al-Nawawi : (النامصة) adalah wanita yang membuang bulu-bulu daripada mukanya. Manakala (المتنمصة) adalah wanita yang meminta untuk bulu-bulu tersebut dibuang. Perbuatan ini adalah haram melainkan apabila seorang perempuan itu tumbuh janggut atau misai, maka tidak haram untuk membuangnya. والله أعلم بالصواب