Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Malam semalam saya bersama isteri berjimak.. usai berjimak kami terus tidur.. nak dekat waktu azan subuh kami tersedar.. lalu kami berjimak sekali lagi.. selepas berjimak kami ingin mandi junub tetapi saya dapati isteri saya haid.. dan darah haid tuu ada sedikit kesan pada alat sulit saya.. apa hukum menurut islam? Demi Allah Yang Maha Melihat Dan Maha Mendengar.. saya tak tahu langsung isteri saya haid masa tuu.. dan isteri saya pun kata dia tak tahu.. saya tidak melihat terus ke alat sulit isteri saya.. lalu kami berjimak..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum bersetubuh ketika dalam haid adalah haram. وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمْ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ Maksudnya : “dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh Dengan isteri kamu) Dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (al-Baqarah: 222). Dalam hal ini, tiada kaffarah (denda) dikenakan kepada suami isteri yang bersetubuh ketika isteri sedang haid, tetapi hukumnya adalah haram. Suami dan isteri hendaklah bertaubat atas keterlanjuran melakukan dosa tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.