Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam ustaz, apakah hukum menjual software crack seperti ( adobe, windows crack, dan lain2) ? Dan apakah hukum mengunakan software crack? Jika haram, menjual software crack, macam mana nak bersihkan harta yang diperoleh daripada hasil jualan software crack?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum menjual dan menggunakan software crack adalah haram dan berdosa. Hal ini kerana, mengambil hak cipta orang lain tanpa meminta izin daripada tuannya boleh membawa kepada kezaliman mengambil hak orang lain. Firman Allah Taala: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya) (an-Nisa : 29-30) Cara untuk membersihkan harta hasil daripada jualan software crack adalah dengan menyerahkan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor. Serahan wang boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau didepositkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/syubhah.php والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.